Friday, March 14, 2008

SINERGI UNTUK 1+1=3(malah lebih)

Baik, sekarang cuba awak jelaskan, kenapa awak kata saya telah mengabaikan rumahtangga kita?”, tegas seorang suami, yang juga CEO sebuah syarikat besar, kepada isterinya.
“Penjelasan yang macam mana? Puas sudah saya jelaskan sebelum ini”, jawab isterinya.
“Penjelasanlah! Facts and figures… di mana kurangnya, apa kurangnya…”, muka si suami sedikit kemerahan.
“Tak adalah facts and figures tu. Tetapi ia suatu perasaan yang kuat. Saya rasa awak semakin longgar dari rumahtangga kita”, kata isterinya.
“Tengok tu Encik Covey, tak faham saya dibuatnya. Asyik-asyik itulah yang diulangnya sejak sekian lama. Perasaan, perasaan, perasaan!”, rungut si suami.
Stephen Covey tersenyum melihat gelagat mereka berdua. Hilang sedikit tumpuannya kepada makan malam mereka. Si suami berfikir dengan otak kiri, manakala si isteri membalas dengan sentuhan otak kanan.
“Saya tahu awak mungkin tak suka saya jemput Encik Covey makan malam bersama dengan kita malam ini. Tetapi, saya nak beliau bantu selesaikan apa masalah kita. Awak kata kita bermasalah tetapi awak tidak dapat memberikan penjelasan mengenainya”, si suami menyambung leteran. Buruk juga apabila orang lelaki berleter.
Si isteri tunduk. Garpunya menguis-nguis kobis bunga di dalam pinggan.
“Baik, sekarang ni, awak puas hati tak dengan rumah kita?”, tanya si suami. Cuba memecahkan kebuntuan diskusi mereka.
Isteri mengangguk lemah.
“Cukup tak makan pakai kita selama ini?”, soal si suami.
“Lebih dari cukup…”, jawab isterinya lemah.
“Habis, di manakah yang tidak kenanya?”, si suami sudah naik angin sedikit.
“Bukan soal makan pakai. Tetapi bagaimana perasaan awak terhadap saya, terhadap anak-anak dan rumahtangga kita?”, si isteri mengangkat muka. Sedikit memberontak.
“Saya sayangkan awak. Begitu juga anak-anak kita”, kata si suami.
“Tetapi saya tidak dapat merasainya!”, tegas si isteri.
“Tengok, Mr. Covey. Tak habis-habis dia akan mengulang perkara yang dia sendiri tidak dapat jelaskan”, si suami bernada mengalah. Bosan barangkali.
Kisah ini dicatat oleh Covey di dalam bukunya The 7 Habits of Highly Effective Families. Tetapi ia bukan kisah Covey semata. Ia kisah kehidupan kita semua.
“Tadi awak kata awak ada anak. Berapa orang?”, tanya Covey kepada pasangan itu.
“Dua orang!”, mereka berdua menjawab serentak.
“Oh dua orang. Bagaimana keluarga kamu bertukar dari kamu berdua kepada empat orang sekarang ini?”, tanya Covey dengan nada provokasinya.
“Apa maksud awak?”, tanya CEO itu, kebingungan.
“Maksud saya, macam mana kamu berdua dapat anak? Dua orang pula tu. Satu campur satu jadi empat!”, soal Covey.
Merah padam muka mereka berdua.
“Faham-faham sahajalah bagaimana kami dapat anak”, jawab si suami. Terasa sedikit aib pada soalan itu.
“Ya, kamu dan isteri bekerjasama untuk mendapat anak. Ketika kamu bekerjasama itu, kamu mahukan isteri kamu serupa dengan kamu, atau kamu menghargai dirinya sebab dia ‘berbeza’ dari diri kamu?”, tanya Covey lagi.
“Wah… peliknya. Tentulah saya gembira kerana isteri saya adalah isteri saya”, kata lelaki itu. Nafasnya kencang.
“Bagaimana kalau isteri kamu serupa dengan kamu? Bolehkah kamu gembira dan mampukah kamu berdua hari ini memiliki dua anak hasil persamaan itu?”, Covey terus menghentak pemikiran pasangan suami isteri itu.
Apa yang cuba Covey sampaikan, sudah difahami oleh mereka berdua. Mereka terlupa bahawa perbezaan antara suami dan isteri, bukan punca masalah, tetapi suatu nikmat dan peluang pengkayaan rumahtangga mereka.
Kerana suami itu seorang lelaki, dan isterinya pula seorang perempuan, mereka bahagia, dan natijah kebahagiaan mereka, rumahtangga yang bermula dengan dua insan bercinta itu, sudah bertambah menjadi empat dengan sepasang anak yang menyerikan kehidupan. Rumahtangga itu bukan sahaja memuaskan naluri mereka sebagai manusia, tetapi juga mencambahkan kebaikan, menambah keturunan, dan manfaatnya tidak berhenti-henti, tidak putus.
Itulah sinergi.
Satu tambah satu bukan dua, malah tiga, mungkin empat dan lebih lagi.

Betapa pentingnya sinergi dalam kehidupan, saya jadi tidak segan dan tidak pernah berasa susut keislaman jika saya mencadangkan bakal pengantin membaca buku Men Are From Mars, Women Are From Venus karangan John Gray. Ia mengajar seorang lelaki dan seorang perempuan untuk memahami bahawa lelaki itu sangat berbeza dari perempuan, dan perbezaan itu bukan masalah tetapi rahmat dan anugerah. Perkahwinan adalah untuk menghasilkan kebaikan daripada perbezaan itu.
Perbezaan fizikal.
Perbezaan cara berfikir.
Perbezaan kekuatan rasional dan emosi.
Perbezaan selera dan kecenderungan.
Berbeza belaka…
Untuk itu, syarat pertama SINERGI adalah MERAI DAN MEMANFAATKAN PERBEZAAN.

Sinergi bukan bermaksud berlapang dada dan berkompromi terhadap perbezaan. Ia bukan soal bertolak ansur di mana hari ini saya ikut jalan awak, dan esok awak pulalah ikut jalan saya.
Tetapi sinergi itu bermaksud saya datang dengan pandangan saya dan awak datang dengan pandangan awak, tetapi kita berdua terbuka bukan hanya kepada memilih antara dua pandangan berbeza yang kita ada, sebaliknya bersedia untuk mencari sesuatu yang lebih baik dari cara saya dan cara awak.

saifulislam.com

No comments: